Tuesday, September 4, 2012

Mengelakkan Kesilapan Biasa dalam Melabur

Semua orang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Sebagai pelabur, kita perlu belajar daripada kesilapan pelaburan kita dengan mengenali kesilapan itu dan membuat penyesuaian yang sewajarnya kepada disiplin pelaburan kita.

Ramai orang melabur tanpa mempelajari secukupnya tentang proses pelaburan atau produk-produk pelaburan yang berlainan dan tanpa mempertimbangkan apa yang mereka mahu mencapai sebenarnya dalam jangka panjang. Pelabur semacam ini selalunya bertindak balas negatif kepada kemeruapan jangka pendek pasaran, mendengar nasihat mereka yang mendakwa diri mereka pakar, memasuki pasaran pada masa yang tidak sesuai dan akhirnya menanggung kerugian yang bertimbun.

Berikut adalah di antara kesilapan biasa yang dibuat oleh pelabur yang boleh menjejaskan prestasi portfolio mereka:

1. Tidak menyediakan dana kecemasan sebelum melabur
Melabur tanpa sebarang peruntukan dana kecemasan umpama berakit tanpa jaket keselamatan. Sebelum memasuki pasaran, pelabur dinasihatkan supaya memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan sebagai persediaan bagi menghadapi kecemasan kewangan (seperti kehilangan pekerjaan) atau masalah aliran tunai yang tidak diduga. Tujuan utama penampan tunai ini ialah untuk memberikan kestabilan fiskal dan emosi semasa dilanda kemelutan ekonomi peribadi.

2. Pemasaan pasaran
Walaupun pasaran mungkin bergerak secara kitaran, namun ini tidak bermakna kita boleh menentukan bila kita hendak masuk dan keluar dari pasaran pada paras terendah dan paras tertingginya masing-masing. Pelabur yang berpengalaman dan berjaya seperti Warren Buffett tidak menggunakan kaedah pemasaan pasaran kerana kaedah ini selalunya tidak berkesan. Oleh itu, pelabur individu akan dapat mengelak daripada menanggung kerugian besar jika mereka tidak mencuba memasakan pasaran. Bahkan, memandangkan pengalaman mereka yang terhad dalam memahami pasaran kewangan, pelabur individu lebih baik memfokus kepada melabur dalam unit amanah untuk jangka panjang.

3. Berlengah-lengah
Pelabur tidak harus menangguh apabila melabur kerana permulaan awal boleh membawa banyak perbezaan dalam pulangan yang berpotensi diraih kerana tempoh masa yang lebih panjang membolehkan pulangan berganda atas feadah berfungsi dengan efektif. Sementara itu, lebih lama anda tunggu untuk memulakan pelaburan anda, lebih banyak wang yang perlu anda laburkan untuk mendapatkan pulangan yang sama dengan orang yang mula melabur lebih awal.

4. Mengambil terlalu banyak risiko atau terlalu sedikit
Oleh sebab risiko dan pulangan adalah seiring, maka tahap risiko yang anda ambil semasa melabur boleh menentukan pulangan yang mungkin diterima. Namun begitu, ada orang yang mengambil terlalu banyak risiko dan ada pula yang terlalu sedikit. Pelabur yang mengambil risiko tinggi pada akhirnya menjadi spekulator dan sering melabur tanpa membuat penyelidikan terlebih dahulu. Pelabur yang terlalu konservatif pula mungkin menanggung risiko di mana inflasi menyusutkan kuasa beli mereka. Daripada semata-mata bergantung pada toleransi risiko anda untuk menentukan pelaburan anda, anda haruslah juga mengambil kira matlamat kewangan dan jangka masa pelaburan anda.

5. Kurang pempelbagaian
Pempelbagaian adalah antara prinsip melabur yang paling asas ke arah portfolio pelaburan yang berkembang dan mantap. Namun begitu, ramai pelabur cuai dan gagal mengikuti langkah ini sepenuhnya, sebaliknya mereka meletakkan semua telur (pelaburan) mereka ke dalam satu bakul (aset). Portfolio yang berpelbagai akan mematuhi semua komponen peruntukan aset ¨C mengambil kira toleransi risiko, modal pelaburan yang sedia ada, jangka masa pelaburan dan perwajaran kelas aset portfolio semasa.

6. Menjadi terlalu mengikut perasaan dalam membuat keputusan pelaburan
Kebanyakan pelabur membenarkan emosi ¨C terutamanya perasaan tamak dan takut ¨C mendorong keputusan pelaburan mereka. Misalnya, pelabur yang terlalu mengikut perasaan akan terdorong untuk menjual pelaburan apabila harganya jatuh. Akibat terlalu mengikut perasaan dan gerak hati mereka, ramai pelabur yang menjual pada harga rendah dan membeli pada harga tinggi di pasaran. Mereka sepatutnya menilai secara objektif sebab kejatuhan harga itu dan melihat sama ada ia disebabkan oleh keadaan pasaran yang lebih meluas.

7. Kurang penyelidikan
Pelabur haruslah membuat penyelidikan sebelum melabur. Pelaburan yang berjaya memerlukan masa dan usaha yang berterusan, termasuk melakukan penyelidikan pelaburan sendiri. Pelabur harus ingat bahawa prestasi sebuah pelaburan dahulu tidak semestinya memberi panduan untuk prestasi masa hadapan.

8. Panik semasa pasaran jatuh
Apabila pasaran jatuh teruk, biasanya pelabur akan dikuasai oleh emosi mereka dan menyebabkan mereka menjual pelaburan mereka secara panik. Pelabur yang memegang pelaburan untuk jangka panjang tidak akan dipengaruhi oleh putaran pasaran saham ini. Sebaliknya, mereka mungkin melihat kelemahan pasaran sebagai peluang untuk membeli saham mewah di bawah nilai sebenarnya pada harga yang menarik.
Semua orang melakukan kesilapan dalam pelaburan mereka tetapi apa yang membezakan pemenang daripada orang yang kalah adalah mereka menggunakan apa yang mereka pelajari daripada kesilapan mereka. Kunci kejayaan dalam pelaburan bukanlah mengelak daripada risiko sama sekali tetapi mengenali risiko yang diambil. Bagi mengelakkan kejutan yang kurang menyenangkan, buat penyelidikan anda. Tiada apa yang setanding dengan membaca prospektus dan menyemak prestasi jangka panjang pelaburan. Sepertimana pengurus dana Amerika, Ronald W. Roge, pernah berkata: "Orang meluru membeli meskipun mereka tidak faham apa yang mereka beli. Orang membuat lebih banyak penyelidikan semasa mereka membeli peti ais atau perakam kamera video daripada semasa mereka melabur beribu-ribu dalam pasaran."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jutawan Pun Buat Kesilapan (dan Belajar daripada Kesilapan itu)

Benjamin Graham muflis sebanyak tiga kali sebagai pelabur. Tetapi setiap kali beliau muflis, beliau mendokumentasikan dan mengkaji kegagalannya, dan beliau akhirnya dapat menyampaikan kebijaksanaan pelaburan ini kepada ramai orang lain, termasuk Warren Buffett, yang kemudiannya pula belajar daripada kesilapan dan kegagalannya sendiri.
Pada awal kerjaya Buffett, beliau tersilap percaya bahawa beliau boleh menyelamatkan kilang tekstil yang hampir lingkup. Setelah terpaksa membubarkan operasi tekstilnya, Buffett belajar membayar untuk kualiti. Beliau mengubah syarikat yang hampir lingkup itu kepada perniagaan bernilai AS$140 bilion.

Satu lagi contoh yang hebat ialah John Lasseter, dari syarikat Pixar. Selepas tamat pengajian dari kolej, Disney mengambilnya bekerja sebagai kapten tunggangan Jungle Cruise di Disneyland. Kemudian, syarikat itu memberinya peluang bekerja sebagai juruanimasi, dan beliau segera menyedari kemampuan teknologi komputer baru untuk merevolusikan animasi.

Namun begitu, Disney sangat tidak tertarik dengan filemnya yang pertama sehinggakan beliau dibuang kerja serta-merta. Jadi, beliau terpaksa berusahakannya semula. Selepas memperhalusi proses-prosesnya, beliau menyertai sebuah syarikat yang kemudiannya dikenali sebagai Pixar, di mana beliau memenangi dua Anugerah Akademi dan menerbitkan beberapa buah filem hit "blockbuster" termasuk Toy Story, A Bug's Life, dan Cars. Ironiknya, beliau dan rakan kongsinya Steve Jobs kemudiannya menjual Pixar kepada Disney dengan harga AS$7.4 bilion (RM25.1 bilion).

Pengajaran daripada kisah ini: sentiasa belajar daripada kesilapan anda.

For more information please contact me or leave a message to me. You can get my contact details note on right side of my blog. Thanks!

www.facebook.com/LancerLimUTC
www.lancerlimutc.blogspot.sg

No comments:

Post a Comment